Monday, December 28, 2009

Pertandingan Sepak Takraw Berakhir.

Pertandingan Sepak Takraw Terbuka anjuran PERBEKK telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya pada Sabtu dan Ahad lalu.

Sebanyak 15 regu telah mengambil bahagian. PERBEKK sendiri menghantar 5 regu sebagai pendedahan. Tahniah kepada para pemain yang mempamerkan permainan bermutu tinggi.

Aksi di pusingan awal. Regu PERBEKK E yang berjaya melangkah ke pusingan ketiga sebelum tewas kepada regu KESTAS Sipitang.

Wajah para penonton yang turut sama memeriahkan pertandingan ini. Sorakan penyokong yang sporting menjadikan pertandingan ini menarik.

KAN Jafar Lukin, selaku penasihat PERBEKK menyampaikan hadiah kepada wakil pasukan Selatan A, yang menjuarai pertandingan selepas mengalahkan regu KESTAS, dalam perlawanan akhir yang sengit dan menarik.

Sdra Kassim Dikin bersama rakan-rakannya dari pasukan KESTAS Sipitang menerima hadiah Naib Johan.

Wakil pasukan Selatan B menerima hadiah tempat ketiga, selepas mereka mengalahkan regu Arjuna Team.
Ketua Pasukan Arjuna Team menerima hadiah yang disampaikan oleh KAN Jafar Lukin.

Pasukan KESTAS Sipitang juga terpilih menerima hadiah Pasukan Terbaik di atas komitmen dan displin mereka sepanjang kejohanan.

Pemain Terbaik, Mat Kasim Salleh dari pasukan Weston menerima hadiah daripada WKAN Jairin Ag Damit.

Jefrydin Abd Rahman dari pasukan Selatan B pula terpilih sebagai Killer Terbaik.
Beginilah aksi perlawanan akhir yang dimenangi oleh regu Selatan B. Terima kasih kepada sdra Arman Ag Damit yang membantu penganjur dengan menjadi pengadil.

Terima kasih juga kepada Vista Excellence, Pemborong ADM, Sumih Ent.,Sdra Mat Bali Musah Naib Ketua Pemuda Umno Sipitang dan orang perseorangan yang menyumbang kepada kelancaran kejohanan ini.

Seperti kata Pengerusi PERBEKK, penganjuran buat kali pertama ini tentu sahaja ada kelemahan dan kesilapan. PERBEKK memohon maaf dan memperbaikinya pada masa depan.

Tahniah kepada para pemenang, terima kasih kepada yang sudi mengambil bahagian.

Monday, December 21, 2009

Pertandingan Sepak Takraw Terbuka Beaufort 2009

PERBEKK akan menganjurkan Pertandingan Sepak Takraw Terbuka pada 26-27hb Disember ini. Pertandingan ini akan dijalankan di Gelanggangg PERBEKK Kg. Kuridak, Gadong, Beaufort.
















Pertandingan ini terbuka kepada pasukan yang berminat, dengan yuran dikenakan hanya sebanyak RM30.00 sahaja.

Pelbagai hadiah menarik disediakan untuk para pemenang : Johan : Wang Tunai RM 200 serta medal, Kedua: RM150.00 & medal, Ketiga: RM 100.00 & medal serta Keempat : RM 50.00 & medal. Hadiah sampingan lain seperti Pasukan Terbaik, Pemain Terbaik dan Killer Terbaik turut disediakan.

Objektif pertandingan ini diadakan ialah untuk mencungkil bakat baru di kalangan belia dalam sukan sepak takraw, disamping menambah dana persatuan.

Pasukan yang berminat boleh menghubungi Sdr. Abd Razak Tahkik selaku Pengerusi Penganjur, Sdr. Zulkarnain Moksin atau Sdr. Jairih Jairin.

Sunday, December 6, 2009

Takziah dan Tahniah...

PERBEKK mengucapkan Takziah kepada Saudara Asmunih Jusrin sekeluarga, Penasihat PERBEKK yang juga Pengerusi JKKK Kg Kuridak, di atas kembalinya ke Rahmatullah bonda tercinta pada malam 4hb lalu.

Semoga pemergian Allahyarhamah bersama rahmat dan maghfirah Allah SWT.

**************

Kepada pasukan sepak takraw PERBEKK yang menyertai Sukan Komuniti DUN Lumadan di Kg Lingkungan kelmarin, diucapkan tahniah kerana berjaya melangkah ke pusingan Separuh Akhir. Walaupun akhirnya tewas, namun kejayaan menduduki tempat keempat ( selepas kalah undian tanpa bermain ) adalah satu kejayaan juga.

Pasukan badminton yang menyertai karnival sama juga tewas di pusingan kedua, di Dewan Masyarakat Weston.

Diharapkan para pemain PERBEKK akan menggandakan latihan dan usaha untuk mencapai kejayaan pada masa akan datang!

Friday, November 27, 2009

Selamat Hari Raya !


PERBEKK
mengucapkan
SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA
kepada semua ahli PEBEKK dan seluruh Muslimin.

Saturday, November 21, 2009

Gaya Pasukan Bolasepak PERBEKK...


Beginilah gaya pasukan bolasepak PERBEKK yang menyertai Pertandingan Bolasepak 9 Sebelah Piala Muhibah ADUN Lumadan baru-baru ini.

Berdiri dari kiri: Amran Junarih, Md Said Ag Damit, Razak Tahkik, Ag Sulaiman Ag Damit & Arin.
Duduk : Zulkarnain Moksin, Halim Hassan, Rosley Amit, Yakob Ag Damit & Jairih Jairin.

Friday, November 20, 2009

Piala Muhibbah ADUN N27 Lumadan

( Gambar Blog Pembela Rakyat )

Pada 7 dan 8 haribulan yang lalu, pasukan bolasepak PERBEKK telah menyertai Pertandingan Bolasepak Piala Muhibah ADUN N27 Lumadan, yang diadakan di Padang SK Gadong. Kejohanan ini telah disertai sebanyak 34 pasukan.

Pasukan PERBEKK terkandas di pusingan kedua, kalah tipis 0-1 kepada pasukan GD FC, dari Padas Damit. Pada pusingan pertama, pasukan PERBEKK menewaskan pasukan Waja Nabahan 1-0. Terima kasih kepada jaringan Sdra. Md Said Ag Damit, Pengerusi PERBEKK.

****************

Pada 19hb pula, Pengerusi PERBEKK telah menghadiri Mesyuarat Majlis Perundingan Belia Bahagian Pendalaman Bawah, Beaufort kali kedua pada tahun ini.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Beaufort telah diadakan di Borneo Golf, Bongawan.

Dalam mesyuarat ini, Pengerusi PERBEKK telah mencadangkan supaya kerjasama di antara Pejabat Belia dan Sukan Persekutuan dan Negeri Sabah dieratkan lagi demi kemajuan dan menfaat kepada belia setempat.

Thursday, November 5, 2009

PERBEKK @ Oktober


Sepanjang bulan Oktober yang lalu, PEBEKK telah hadir menyertai beberapa program yang dianjurkan pelbagai agensi dan NGO yang lain di sekitar Daerah Beaufort.

Pada 10hb Oktober, PERBEKK menyertai Pertandingan Sepak Takraw Di Kg Kota Klias Beaufort. Satu regu yang diketuai oleh Sdr. Jairih Jairin telah tewas di pusingan kedua.

24hb Oktober pula, Sdr. Jairih Jairin bersama beberapa orang belia menyertai Karnival Penggalakan Kerja Belia di sektor Perladangan anjuran Jabatan Tenaga Kerja, Beaufort di Dewan Kg Lumadan, Beaufort. Perasmian majlis tersebut telah disempurnakan oleh YB Datuk Sapawi Ahmad, MP Sipitang.

Keesokan harinya pula, diketuai Sdr. Abd Razak Tahkik, Tim. Pengerusi PERBEKK telah dijemput menyertai Program Komuniti Bestari Kg Garama, Beaufort. Ahli PERBEKK menyertai pertandingan sepak takraw, tarik tali dan pertandingan nyanyian. Majlis ini juga dirasmikan oleh YB Datuk Sapawi Ahmad, MP Sipitang.

Sementara Pengerusi PERBEKK, Sdr. Md Said Ag Damit pula telah hadir ke Taklimat Pendaftaran ROY oleh Jabatan Belia dan Sukan pada 30hb Oktober yang lalu di Jasaria Hotel, Beaufort.

Monday, October 19, 2009

PERBEKK @ New Sabah Times



Berita PERBEKK menyertai dan menjadi Naib Johan di Sukan Perpaduan anjuran Persatuan Belia Pekan Weston tersiar di suratkhabar New Sabah Times.

Sunday, September 27, 2009

Selamat Hari Raya 2009!



PERBEKK
mengucapkan
SELAMAT HARI RAYA
MAAF ZAHIR BATIN
kepada seluruh muslimin,
khusus kepada ahli PERBEKK &
penduduk Kg Kuridak!

Wednesday, August 19, 2009

Terima Kasih...


Alhamdulilah, pada 12 Ogos yang lalu projek pembinaan gelanggang bola tampar di Kg Kuridak telah selesai dilaksanakan dengan jayanya selepas dimulakan seminggu sebelumnya.

Terima kasih diucapkan kepada YB Datuk Sapawi Ahmad, MP Sipitang yang telah menghadiahkan projek ini kepada belia Kg Kuridak.

Terima kasih juga untuk Sdr. Matbali Musah, Peg. Perhubungan Parlimen atas kerjasama menjadikan projek ini satu realiti.

Dengan terbinanya gelanggang ini, akan memudahkan ahli PERBEKK menjalankan kegiatan riadah di ruang yang lebih luas. Gelanggang ini boleh digunakan untuk permainan bola tampar, sepak takraw, badminton dan sebagainya.

Seramai 12 orang ahli PERBEKK diketuai sdra. Zulkarnain Moksin dan Razak Tahkik terlibat dalam menjayakan 'misi' membina gelanggang, dengan semangat gotong-royong. Diharapkan semangat akan terus dikekalkan demi memastikan PERBEKK terus maju untuk belia Kg. Kuridak.

Gelanggang ini dibina di atas tapak gelanggang lama yang sudah rosak dan tidak digunakan lagi. Hasil daya usaha ahli belia yang terlibat, pembinaan berjaya dilaksanakan dengan baik tanpa sebarang masalah.

Terima kasih kepada ahli belia yang terlibat, bekerjasama menjadikan impian satu realiti.

Beginilah keadaan tapak gelanggang ini pada awalnya, dipenuhi semak dan belukar. Terima kasih kepada Pn. Rusminah Ibrahim yang bersetuju membenarkan tapak ini digunakan untuk tujuan pembinaan gelanggang dan pelbagai pembangunan lain.

Monday, August 3, 2009

Terkandas di Pusingan Keempat : Piala Exco Penerangan


Perjuangan PERBEKK dalan Kejohanan Bolasepak Piala Exco Penerangan berakhir di pusingan keempat. Pada 25hb Julai lalu, selepas mendapat undian bye di pusingan ketiga, PERBEKK terkandas di pusingan keempat.

PERBEKK tewas kepada pasukan Veteran Beaufort 0-1, dalam perlawanan yang turut disaksikan oleh YB Datuk Sapawi Ahmad, Exco Penerangan Sabah, YB Kamarlin Ombi dan Sidek Jubar, Pegawai Daerah Beaufort.

Selepas itu, PERBEKK bersama dua pasukan lain boleh bermain lagi untuk merebut tempat keempat yang juga menyediakan hadiah. PERBEKK telah berkompromi dan bersetuju dengan penganjur untuk melakukan undian sahaja, tanpa bermain. Malang nasib PERBEKK, undian tidak menyebelahi PERBEKK.

Walaupun tewas, pencapaian PERBEKK mara sehingga ke pusingan keempat sesungguhnya adalah satu permulaan yang baik kerana kejohanan ini merupakan kejohanan bolasepak yang pertama disertai PERBEKK sejak mula ditubuhkan.

Ketika ini PERBEKK aktif mengadakan perlawanan persahabatan sebagai persediaan menyertai pertandingan yang akan datang.

Tuesday, July 21, 2009

PERBEKK Sertai Piala Exco Penerangan


PERBEKK telah menghantar satu pasukan bolasepak menyertai Pertandingan Bolasepak 9 Sebelah Piala Exco Penerangan anjuran Komuniti Bestari Daerah Beaufort.

Kejohanan yang bermula pada 18hb Julai lalu berterusan sehingga ke 25hb Julai ini. Setakat ini pasukan PERBEKK telah berjaya melangkah ke pusingan ketiga.

Pada perlawanan pertama, pasukan PERBEKK mengalahkan pasukan Pilihan Lumadan melalui sepakan penalty selepas perlawanan berakhir tanpa jaringan.

Di pusingan kedua, PERBEKK membenamkan pula cabaran KRT Rancangan Klias, juga melalui penentuan sepakan penalty selepas perlawanan berakhir dengan jaringan 1-1.

Perlawanan pusingan ketiga akan berlangsung pada 24hb ini di Padang Pekan Beaufort.

PERBEKK Naib Johan Sepak Takraw Sukan Perpaduan


Pada 4-5 Julai yang lalu, PERBEKK telah menghantar dua regu sepak takraw menyertai Sukan Perpaduan Piala Ahli Parlimen Sipitang, YB Datuk Sapawi Ahmad. Kejohanan sukan ini telah diadakan di Pekan Weston.


Regu A PERBEKK yang diwakili oleh Jairih Jairin, Hashim Musleh, Rozainih Jakeriah dan Rony Erwan Jamil telah berjaya ke perlawanan akhir. Malangnya mererka tewas tipis dalam set ketiga kepada regu Kestas B Sipitang.


Regu ini berpuas hati di tempat kedua, dipisahkan dengan kejuaraan kerana kekalahan satu mata, setelah bertarung sengit dalam perlawanan menarik dan menjadi tumpuan.


Sementara regu B yang diwakili oleh Faizuan Japar, Fandi Aman, Shafie Mutrin dan Khalid Jinlah terkandas seawal pusingan kedua.


Tahniah diucapkan kepada para pemain PERBEKK yang menunjukkan permainan cemerlang, demi menaikkan nama PERBEKK!

Friday, June 19, 2009

Pertandingan Sepak Takraw Tertutup Kg Kuridak

Pada 6hb Jun yang lalu, PERBEKK telah menganjurkan Pertandingan Sepak Takraw Tertutup Peringkat Kg. Kuridak. Sebanyak 6 pasukan telah menyetai pertandingan ini.

Pertandingan ini telah dimenangi oleh regu Jairih, Arin dan Kantui. Mereka menewaskan regu Achim, Boy dan Andika dalam perlawanan akhir.

Sebahagian penonton termasuk Tim. Pengerusi PERBEKK Sdr. Abd Razak Tahkik dan KK Jairin Ag Damit yang menyaksikan aksi-aksi hebat para pemain takraw di Kg. Kuridak.

Ini sebahagian aksi di peringkat awal pertandingan yang dijalankan secara liga dua kumpulan. Juara dan naib juara kumpulan bertemu di peringkat separuh akhir.

Tempat ketiga dimenangi oleh regu gabungan veteran, KK Ariffin Abdullah, Yakob Ag Damit dan Saidin Jairin. Walaupun sudah berusia tetapi masih berbisa dan mampu mengalahkan regu anak muda.

Pertandingan ini akan diadakan lagi pada penghujung tahun nanti.

Friday, June 5, 2009

Gotong-Royong Kebersihan


Pada 1hb Jun yang lalu, PERBEKK telah menganjurkan gotong-royong kebersihan di perkarangan Masjid dan Balai Raya Kg Kuridak.

Gotong-royong ini mendapat sambutan menggalakkan bukan sahaja di kalangan belia, malahan turut sama dihadiri oleh golongan dewasa.

Turut sama hadir KAN Japar Lukin dan KK Jairin Ag Damit, selaku Penasihat PERBEKK.


Para belia telah membuktikan kebenaran pepatah, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.


Sebahagian belia membersihkan kawasan berwuduk dan tandas Masjid.

Ahli PERBEKK ini memang terbukti rajin !

Berehat selepas penat bekerja!

Diharapkan gotong-royong ini akan dapat diadakan lagi pada masa depan dan disertai oleh semua peringkat umur.

Saturday, May 30, 2009

PERBEKK @ Utusan Borneo


Belia Sipitang diseru ceburi bidang perniagaan
Utusan Borneo 28 Mei 2009

Sipitang : Ahli Dewan Undangan Negeri ( Adun ) Lumadan, Kamarlin Ombi menyeru golongan belia di daerah ini supaya menceburi bidang perniagaan walaupun memulakannya secara kecil-kecilan.

Bagaimanapun kata beliau, mereka hendaklah melengkapkan diri dengan ilmu perniagaan misalnya cara mengendalikan perniagaan termasuk pengurusan, pemasaran dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan perniagaan.

Selain itu katanya, peniaga juga mesti memiliki disiplin yang tinggi, tabah, mampu bertahan dan mempunyai keberanian untuk bersaing.

"Hari ini mereka ( peniaga ) yang berjaya dalam bidang perniagaan dibekalkan dengan disiplin yang tinggi, tidak putus asa, sentiasa mencari ruang dan peluang" katanya.


Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan penutupan Kursus Pembangunan Enterprais Belia Daerah Beaufort anjuran Persatuan Belia Kampung Kuridak ( PERBEKK ) dan Jabatan Belia dan Sukan beaufort baru-baru ini.

Turut hadir Pengerusi Persatuan Belia Kampung Kuridak, Md Said Ag Damit dan Pegawai Belia dan Sukan Persekutuan Beaufort, Shamson Saad.

Monday, May 25, 2009

Terima Kasih Semua!


Kejayaan pelaksanaan Kursus Enterprais Belia pada 16-17hb Mei 2009 lalu, sememangnya amat menggembirakan. Seperti kata Pengerusi, mungkin tidak sempurna tetapi adalah satu kebanggaan apabila berjaya melaksanakan amanah dan tanggunjawab diberikan.

PERBEKK mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan kurusus tersebut.

Terima kasih kepada YB Kamarlin Ombi, ADUN Lumadan yang sudi merasmikan Majlis Penutup dan menyampaikan sijil kepada para peserta.

Terima kasih juga diucapkan kepada Pn. Shamson Saad, Pegawai Belia & Sukan Daerah Beaufort, yang sudi bersama dan banyak membantu PERBEKK dalam melaksanakan aktiviti. Terima kasih juga kepada semua staff Jabatan Belia & Sukan Beaufort.


Terima kasih kepada KEMAS Beaufort yang membolehkan PERBEKK menggunakan kemudahan penginapan dan dewan.

Terima kasih kepada Kem Komandan Sdr. Mat Jalim Manan, Penceramah dan Tenaga Fasilitator yang bekerja keras menjayakan PDK.


Terima kasih kepada Syarikat Sumih Ent. yang bertungkus lumus menyediakan keperluan makan dan minum peserta.

Terima kasih kepada Syarikat Vista Excellence yang menyediakan keperluan urusetia kursus.


Terima kasih kepada Penasihat PERBEKK KAN Japar Lukin, KK Jairin Ag Damit dan En. Asmunih Jusrin yang tidak jemu-jemu membimbing kami .

Juga terima kasih kepada seluruh AJK PERBEKK yang terus berusaha memajukan Persatuan.

Tahniah dan terima kasih kepada para peserta kursus yang menjadikan aktiviti ini satu realiti. Tanpa anda, kursus ini tidak akan terlaksana dengan jayanya.

Semoga PERBEKK akan terus dapat menjayakan aktiviti dan program yang direncanakan pada masa depan.


Pihak PERBEKK memohon maaf di atas sebarang kelemahan yang berlaku sepanjang kursus tersebut diadakan.

Thursday, May 21, 2009

Kursus Pembangunan Enterprais Belia Selesai Dilaksanakan


Kursus Pembangunan Enterprais Belia yang dianjurkan oleh PERBEKK telah berjaya dilaksanakan pada 16-17hb Mei yang lalu. Seperti yang dijangka kursus ini mendapat sambutan yang baik daripada belia sekitar daerah Beaufort. Seramai 58 orang belia menyertainya, yang diadakan di Kemas Beaufort.


Kursus ini telah disempurnakan Majlis Perasmian Penutupnya oleh YB Kamarlin Hj Ombi, ADUN Lumadan. Dalam ucapannya, beliau menyeru supaya para belia melaksanakan apa yang telah didapati daripada kursus tersebut, serta meminta belia menjadikan keusahawanan sebagai satu kerjaya.

Majlis perasmian tersebut juga telah dihadiri oleh Pn. Shamson Saad, Pegawai Jabatan Belia & Sukan ( P ), Beaufort, Penasihat PERBEKK KAN Japar Lukin dan KK Jairin Ag Damit serta beberapa orang tetamu jemputan.


Kelihatan sebahagian peserta tekun mendengar ceramah. 3 Ceramah telah disampaikan oleh penceramah jemputan, Sdr Lil Kiplee Kadir dari SMK Gadong, Cik Fariza Kadir ( JBS ( P ) KK ) dan Mazlan Manan ( Public Bank ).


Peserta sedang mengadakan PDK. Kumpulan ini dikelolakan oleh En. Benjamin @ Ismail Atin, Tenaga Penggerak BTN Sabah.

Kumpulan ini sedang tekun berbincang di bawah seliaan En.Lil Kiplee Kadir.

Kumpulan ini pula dikendalikan oleh En. Mazlan Manan, dari Public Bank selaku fasilitator jemputan.


Peserta sedang diberikan latihan awal Ice Breaking oleh En. Benjamin dan En. Lil Kiplee. Aktiviti ini telah berjaya dikendalikan dengan cemerlang oleh kedua fasilitator jemputan ini.

Komandan kursus ini ialah En. Mat Jalim Manan.