Wednesday, November 9, 2011

Kerjasama Dengan Takaful Ikhlas.





Alhamdulilah Majlis Korban dan Sumbangan Zakat anjuran PERBEKK dengan kerjasama Takaful Ikhlas Negeri Sabah telah disempurnakan dengan jayanya di Perkarangan Masjid Kg. Kuridak, Beaufort pada 7hb November yang lalu. Perasmian majlis tersebut telah disempurnakan oleh YB Kamarlin Hj Ombi, ADUN Lumadan.


Di majlis tersebut, Ustaz Said Ag Damit selaku Pengerusi PERBEKK dalam ucapan alu-aluannya, mengucapkan terima kasih kepada YB Kamarlin Hj Ombi yang meluangkan masa menyokong acara yang dianjurkan PERBEKK. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Takaful Ikhlas kerana memilih Kg Kuridak, Beaufort sebagai lokasi melakukan tanggungjawab sosial dan memilih PERBEKK sebagai rakan kongsi dalam melaksanakan program yang dirancang. Ustaz Said berharap kerjasama ini akan diteruskan pada masa depan. Selain itu, Ustaz Said juga merakamkan ucapan terima kasih kepada penduduk kg. Kuridak, khususnya para belia di atas komitmen dan kerjasama dalam menjayakan majlis tersebut.

Pihak Takaful Ikhlas yang diwakili oleh saudara Zulfahmi Nadin selaku Pegawai Pemasaran Wilayah Sabah dalam ucapannya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada PERBEKK dan penduduk Kg Kuridak yang bekerjasama menjayakan program tahunan Takaful Ikhlas. Sumbangan seekor kerbau dan wang zakat untuk asnaf terpilih adalah bukti keprihatinan pihak Takaful Ikhlas untuk bersama dengan masyarakat khususnya masyarakat di luar bandar.

Sementara itu, dalam uacapan perasmiannya, YB Kamarlin Hj Ombi mengucapkan tahniah kepada PERBEKK dan Takaful Ikhlas atas kerjasama yang baik dalam acara yang baik. Beliau menyeru supaya rakyat terus menyokong kepimpinan Barisan Nasional dan menolak dakyah pembangkang, termasuk menolak program yang bertentangan dengan ajaran Islam dan budaya masyarakat Malaysia seperti Program Seksualiti Merdeka.

Terdahulu daripada itu, pada sebelah paginya, penyembelihan dua ekor kerbau telah dilaksanakan dengan dagingnya diagih-agihkan kepada penduduk Kg. Kuridak dan sekitarnya.

Tuesday, October 11, 2011

GOLONGAN BELIA TIDAK DIPINGGIRKAN DALAM BAJET 2012

BEAUFORT : Peruntukan berjumlah RM320 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri ketika membentangkan Bajet 2012 minggu lepas dilihat mampu memperkasa golongan belia, khusus untuk melengkapkan generasi pewaris negara itu dengan aktiviti latihan dan kemahiran.

Pengerusi Persatuan Belia Kampung Kuridakn (PERBEKK) Mohd.Said Awang Damit (gambar) berkata, ini bersesuaian dengan peranan kaum belia di Negara yang menjadi pewaris kepada kepimpinan Negara pada masa akan datang untuk merealisasikan wawasan Negara dimana kaum belia perlu diperlengkapkan dengan ilmu,latihan kemahiran dan kepimpinan sebagai asas yang kukuh untuk mereka bersedia menggalas tanggungjawab tersebut

“ Sebagai pemimpin belia kita menyembut baik keprihatinan kerajaan dalam Bajet 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd.Najib Tun Abdul Razak yang disifatkan sebagai bajet menyeluruh tanpa meminggirkan mana-mana pihak termasuk golongan belia di Negara ini” katanya ketika ditemui dan diminta mengulas Bajet 2012 yang telahpun dibentangkan di Parlimen minggu lepas

Menurut Mohd.Said yang juga Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) pelbagai aspek penekanan dalam bajet itu jelas menunjukkan kerajaan Barisan Nasional (BN) mendengar denyut nadi dan memahami kesusahan rakyat termasuk keperluan golongan belia.
Dalam perkembangan berkaitan Mohd.Said juga berkata, Peranan pertubuhan belia dan NGO dalam pembangunan negara perlu dipandang serius oleh pihak kerajaan. Mengambil contoh Majlis Belia Malaysia atau Majlis Belia Sabah sebagai badan induk pertubuhan belia termasuk persatuan persatuan belia yang berdaftar ,perlu diberi suntikan semangat supaya ianya terus mekar dan relevan dalam negara.
Katanya, relevannya pertubuhan ini bukan hanya diukur semata-mata kepada aktiviti, sumbangan dan keberkesanannya tetapi keutuhan pentadbiran termasuk perlaksanaan aktiviti aktiviti belia yang memberikan kesan dan manafaat kepada golongan ini termasuklah penggunaan kecanggihan teknologi yang digunakan pakai perlulah signifikan dengan keadaan semasa

Justeru, adalah menjadi harapan besar pertubuhan-pertubuhan belia di Negara ini agar Kerajaan menyediakan insentif yang berterusan kepada pertubuhan belia dan NGO dengan meningkatkan peruntukan kepada bantuan pentadbiran tahunan dan bantuan aktiviti sejajar dengan peningkatan kos masa kini.

“ Ini termasuklah mengkaji jumlah peruntukan atau geran tahunan yang diberikan kepada persatuan belia yang berdaftar serta aktif agar dapat dipertingkatkan jumlah bantuan bagi membolehkan lebih banyak program belia dapat dilaksanakan oleh persatuan belia yang berdaftar dan aktif” jelas Mohd.Said....

Thursday, June 30, 2011

PERBEKK Membuat Laporan Polis


PERBEKK diketuai oleh Pengerusinya, Md Said Ag Damit bersama Ahli Jawatankuasa, bersama-sama dengan Gabungan Persatuan Belia Pedalaman Bawah Beaufort yang diketuai oleh Cik Halimah Abd. Rahman dan AJK, telah membuat satu laporan polis di Ibupejabat Polis Daerah Beaufort.

Laporan polis dibuat bagi menzahirkan hasrat komuniti belia pedalaman bawah dan di daerah Beaufort bagi menolak perhimpunan haram yang dianjurkan oleh Bersih. Menurut Pengerusi PERBEKK, sebagai mewakili komuniti belia, PERBEKK menentang percubaan pihak tertentu yang cuba mengganggu-gugat kedamaian dan keharmonian hidup rakyat Malaysia. Amalan melakukan perhimpunan, apalagi tanpa permit, adalah salah dan akan mencemarkan imej negara.

Keadaan kelam-kabut yang terhasil daripada perhimpunan haram tersebut akan menyebabkan ketenteraman awam dan keselamatan negara tergugat. Pada masa sama, perhimpunan haram di tempat terbuka seperti di jalanraya yang dianjurkan oleh Bersih akan menyusahkan orang lain. Imej negara di mata dunia sebagai negara yang aman pasti akan terjejas.

Oleh sebab itu, PERBEKK memohon pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dan berkesan bagi menghalang perhimpunan haram ini ke atas penganjur yang mendalangi perhimpunan haram ini. Tindakan pencegahan penting dilakukan demi memastikan keselamatan rakyat terjamin.

Pada masa sama, Pengerusi PERBEKK menyeru golongan belia supaya tidak menyertai perhimpunan haram ini dan tidak melibatkan diri dengan aktiviti yang menjejaskan masa depan belia.

Friday, May 20, 2011

PERBEKK Semakin Maju...


Dalam tempoh dua bulan ini, PERBEKK telah menyertai pelbagai aktiviti yang dianjurkan pelbagai pihak. Buat pertama kalinya, ahli PERBEKK telah terpilih mewakili Malaysia ke program ASEAN YOUTH ON INNOVATION & CREATIVITY. Program selama 3 hari bermula pada 18-20 April lalu, berlangsung di Wilayah Persekutuan Labuan. Seramai tiga orang ahli PERBEKK diketuai Saudara Mohd Rozlin Manan telah menyertai program ini.

Pada 26hb hingga 28hb April pula, Pengerusi PERBEKK bersama beberapa orang pengerusi persatuan belia dari daerah Beaufort telah menyertai Kursus Pemimpin Belia Pertengahan - Perancangan Strategik. Kursus dua hari anjuran Pejabat Belia dan Sukan ( P ) Keningau, telah diadakan di sebuah hotel di Keningau.

Sementara itu, pasukan Futsal pula menyertai Pertandingan Futsal anjuran PBTM di Gelanggang Futsal Kg Lupak pada 7-8hb Mei yang lalu. Selepas cemerlang di pusingan awal, pasukan Futsal tewas tipis melalui tendangan penalti di suku akhir.

Sempena Himpunan Sejuta Belia yang akan berlangsung Stadium Putra Bukit Jalil pada 27-29hb Mei ini, Pengerusi PERBEKK telah dijemput untuk menyertai rombongan belia dari Negeri Sabah dalam sambutan bersama Perdana Menteri itu.

PERBEKK juga akan menyertai Karnival Belia Beaufort yang akan berlangsung pada pertengahan bulan Jun ini. Perdana Menteri dijadualkan akan merasmikan karnival tersebut.

Monday, March 21, 2011

Kejohanan Futsal Tertutup PERBEKK


Pada 19hb Mac yang lalu, PERBEKK telah menganjurkan Pertandingan Futsal Tertutup di kalangan ahli PERBEKK. Pertandingan diadakan di Padang Futsal kg Lupak, Beaufort.


Antara lain objektif pertandingan ini diadakan ialah untuk mencungkil bakat baru di kalangan belia serta mengertakan ikatan silaturrahim di kalangan ahli PERBEKK. Acara ini mendapat sambutan hangat bukan sahaja di kalangan belia malaha oleh para veteran ( belia melepasi umur 40 tahun.)


Pertandingan ini telah dimenangi oleh pasukan PERBEKK B yang diketuai oleh Sdra Amran Junarih. Sementara Naib Johan disandang pasukan PERBEKK A yang diketuai oleh Sdra Razak Tahkik. Menariknya, pasukan Veteran PERBEKK yang diketuai oleh KK Ariffin Abdullah, selaku penasihat PERBEKK berjaya di tempat ketiga.


Hadiah kepada para pemenang pada malam itu telah disampaikan oleh Sdra, Rapahi Hj Edris, AJK Umno Bahagian Sipitang. Tahniah diucapkan kepada para pemenang dan terima kasih kepada semua!

Pada malam itu juga, hadiah kepada kepada para pemenang Pertandingan Sepak Takraw Tertutup PERBEKK yang diadakan pada tahun 2009 juga disampaikan oleh KK Ariffin Abdullah.

Gotong-royong kelolaan PERBEKK pada 6hb Mac yang lalu juga berjalan lancar dan menepati objektif yang diharapkan.

Friday, March 4, 2011

PERBEKK @ MAULIDURRASUL 1432H...


PERBEKK telah menyertai Sambutan Maulidurrasul anjuran SK Garama pada 4hb Mac 2011 buat kali kedua. Sambutan dimulakan dengan perarakan dari masjid Kg Kuridak menuju ke perkarangan SK Garama.

Tahniah kepada belia PERBEKK yang berjaya meraih tempat kedua dalam pertandingan sepanduk. Sementara, sepanduk Kg Kuridak - yang juga dicipta oleh ahli PERBEKK - meraih tempat ketiga.

Semoga penyertaan dalam sambutan Maulidurrasul ini akan menyemarakkan kecintaan kepada Junjungan Besar Nabi Muhamad S.A.W.

*************************************

PERBEKK juga akan menganjurkan gotong-royong bersama penduduk Kg Kuridak di perkarangan Masjid Kg Kuridak pada 6hb Mac ini. Acara akan bermula pada jam 2.30 petang. Diharapkan semua belia dapat hadir bersama.

Tuesday, February 22, 2011

Mesyuarat Agung Tahunan PERBEKK

Pada 20hb Februari yang lalu, PERBEKK telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan ( MAT ) buat kali yang ketiga di Balairaya Kg Kuridak, Beaufort.

Dalam MAT kali ini, pemilihan untuk Ahli Jawatankuasa yang baru telah diadakan. Beberapa muka baru telah dibawa masuk untuk menduduki kerusi AJK, bagi mengganti beberapa orang AJK yang lama. Hanya penyandang 4 jawatan utama telah dikekalkan.

Pada MAT ini juga, beberapa cadangan untuk penambahbaikan persatuan telah dibincang dan diterima. Antara lain diputuskan ialah cadangan mencipta logo persatuan, membuka keahlian persatuan kepada belia yang berminat dari kampung sekitar dan mempelbagaikan aktiviti persatuan.

Pengerusi PERBEKK Saudara Md Said Ag Damit dalam ucapannya selepas dipilih semula menyeru semua belia supaya berganding bahu dan bekerjasama rapat dalam menjayakan sebarang aktiviti persatuan mahupun aktiviti anjuran Badan Masjid dan JKKK.

Beberapa perubahan akan dilaksanakan dalam usaha mentranformasi persatuan agar lebih aktif dan dinamik pada penggal 2011-2012. Beliau berharap kemasukan AJK yang lebih muda akan dapat membantu merealisasikan hasrat ini.

Untuk itu, beberapa aktiviti akan dirancang dan dilaksanakan melalui biro yang ditubuhkan. Beliau juga mengumumkan bahawa latihan kepada pemimpin pelapis persatuan akan dimantapkan memandangkan penggal ini adalah penggal terakhir beliau menerajui persatuan.

Saudara Md Said juga tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada AJK, ahli dan penasihat persatuan yang telah bersama-sama memajukan persatuan sehingga beliau mendapat pengiktirafan Anugerah Belia Negara pada tahun 2010. Bagi beliau, anugerah yang diterima merupakan pengiktirafan kepada PERBEKK.

Monday, January 17, 2011

Menghadiri Mesyuarat Agung Gabungan Persatuan Belia


Pada 15hb Januari 2011 yang lalu, Pengerusi bersama Bendahari dan seorang AJK telah mewakili PERBEKK menghadiri Mesyuarat Agung Gabungan Persatuan Belia Pedalaman Bawah di Jasaria Hotel, Beaufort.

Dalam mesyuarat tersebut, Pengerusi persatuan telah dicalonkan untuk jawatan Pengerusi Tetap tetapi kecundang kepada 'orang lama' dalam aktivis belia.

Diharapkan dengan penubuhan Gabungan ini dapat membangkitkan belia di bahagian Pedalaman Bawah khususnya, untuk lebih peka dan menyertai persatuan.

Tuesday, January 4, 2011

KBS sasar sejuta belia pada Perhimpunan Hari Belia 15 Mei


KUALA LUMPUR 1 Jan. - Kementerian Belia dan Sukan menyasarkan untuk mengumpulkan sejuta belia dari seluruh negara sempena Perhimpunan Hari Belia peringkat kebangsaan yang dijadualkan pada 15 Mei di Putrajaya.

Timbalan menterinya, Datuk Razali Ibrahim berkata, pada tahun lepas, kira-kira 250,000 remaja dikumpulkan pada perhimpunan sama yang berlangsung selama tiga hari.

"Jadi kita optimis dan Jemaah Menteri minta KBS memberikan sasaran untuk dikumpulkan. Sudah tentu 88 program (belia) itu kita tambah lagi dengan ratusan program tahun ini. (Program) tahun lepas akan kita kembangkan lagi," katanya.

Terdahulu, Razali merasmikan Karnival Semarak 1Belia 1Malaysia di Kompleks Belia dan Sukan Kuala Lumpur di Kampung Pandan di sini hari ini.

Karnival sehari anjuran Majlis Belia Wilayah Persekutuan dengan kerjasama KBS itu diadakan bertujuan memupuk semangat cintakan sukan di kalangan belia selain menjadikan aktiviti bersukan sebagai riadah bermanfaat.

Sejumlah 45 acara sukan diadakan seperti cyber games, bola jaring 3 lawan 3 dan futsal selain pameran oleh beberapa jabatan kerajaan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dan Rakan Cop.

Razali berkata kerajaan akan meneruskan pemberian geran untuk menjalankan aktiviti belia dan sukan kepada jabatan sukan di peringkat daerah dan negeri.

"Biasanya geran ini tidak mencukupi untuk mereka melaksanakan program, memadai untuk pentadbiran sahaja," katanya, sambil menambah kata geran itu diberikan berdasarkan keaktifan persatuan mengadakan program yang melibatkan belia di kawasan masing-masing. - BERNAMA