Thursday, June 30, 2011

PERBEKK Membuat Laporan Polis


PERBEKK diketuai oleh Pengerusinya, Md Said Ag Damit bersama Ahli Jawatankuasa, bersama-sama dengan Gabungan Persatuan Belia Pedalaman Bawah Beaufort yang diketuai oleh Cik Halimah Abd. Rahman dan AJK, telah membuat satu laporan polis di Ibupejabat Polis Daerah Beaufort.

Laporan polis dibuat bagi menzahirkan hasrat komuniti belia pedalaman bawah dan di daerah Beaufort bagi menolak perhimpunan haram yang dianjurkan oleh Bersih. Menurut Pengerusi PERBEKK, sebagai mewakili komuniti belia, PERBEKK menentang percubaan pihak tertentu yang cuba mengganggu-gugat kedamaian dan keharmonian hidup rakyat Malaysia. Amalan melakukan perhimpunan, apalagi tanpa permit, adalah salah dan akan mencemarkan imej negara.

Keadaan kelam-kabut yang terhasil daripada perhimpunan haram tersebut akan menyebabkan ketenteraman awam dan keselamatan negara tergugat. Pada masa sama, perhimpunan haram di tempat terbuka seperti di jalanraya yang dianjurkan oleh Bersih akan menyusahkan orang lain. Imej negara di mata dunia sebagai negara yang aman pasti akan terjejas.

Oleh sebab itu, PERBEKK memohon pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dan berkesan bagi menghalang perhimpunan haram ini ke atas penganjur yang mendalangi perhimpunan haram ini. Tindakan pencegahan penting dilakukan demi memastikan keselamatan rakyat terjamin.

Pada masa sama, Pengerusi PERBEKK menyeru golongan belia supaya tidak menyertai perhimpunan haram ini dan tidak melibatkan diri dengan aktiviti yang menjejaskan masa depan belia.