Tuesday, February 22, 2011

Mesyuarat Agung Tahunan PERBEKK

Pada 20hb Februari yang lalu, PERBEKK telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan ( MAT ) buat kali yang ketiga di Balairaya Kg Kuridak, Beaufort.

Dalam MAT kali ini, pemilihan untuk Ahli Jawatankuasa yang baru telah diadakan. Beberapa muka baru telah dibawa masuk untuk menduduki kerusi AJK, bagi mengganti beberapa orang AJK yang lama. Hanya penyandang 4 jawatan utama telah dikekalkan.

Pada MAT ini juga, beberapa cadangan untuk penambahbaikan persatuan telah dibincang dan diterima. Antara lain diputuskan ialah cadangan mencipta logo persatuan, membuka keahlian persatuan kepada belia yang berminat dari kampung sekitar dan mempelbagaikan aktiviti persatuan.

Pengerusi PERBEKK Saudara Md Said Ag Damit dalam ucapannya selepas dipilih semula menyeru semua belia supaya berganding bahu dan bekerjasama rapat dalam menjayakan sebarang aktiviti persatuan mahupun aktiviti anjuran Badan Masjid dan JKKK.

Beberapa perubahan akan dilaksanakan dalam usaha mentranformasi persatuan agar lebih aktif dan dinamik pada penggal 2011-2012. Beliau berharap kemasukan AJK yang lebih muda akan dapat membantu merealisasikan hasrat ini.

Untuk itu, beberapa aktiviti akan dirancang dan dilaksanakan melalui biro yang ditubuhkan. Beliau juga mengumumkan bahawa latihan kepada pemimpin pelapis persatuan akan dimantapkan memandangkan penggal ini adalah penggal terakhir beliau menerajui persatuan.

Saudara Md Said juga tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada AJK, ahli dan penasihat persatuan yang telah bersama-sama memajukan persatuan sehingga beliau mendapat pengiktirafan Anugerah Belia Negara pada tahun 2010. Bagi beliau, anugerah yang diterima merupakan pengiktirafan kepada PERBEKK.