Tuesday, October 11, 2011

GOLONGAN BELIA TIDAK DIPINGGIRKAN DALAM BAJET 2012

BEAUFORT : Peruntukan berjumlah RM320 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri ketika membentangkan Bajet 2012 minggu lepas dilihat mampu memperkasa golongan belia, khusus untuk melengkapkan generasi pewaris negara itu dengan aktiviti latihan dan kemahiran.

Pengerusi Persatuan Belia Kampung Kuridakn (PERBEKK) Mohd.Said Awang Damit (gambar) berkata, ini bersesuaian dengan peranan kaum belia di Negara yang menjadi pewaris kepada kepimpinan Negara pada masa akan datang untuk merealisasikan wawasan Negara dimana kaum belia perlu diperlengkapkan dengan ilmu,latihan kemahiran dan kepimpinan sebagai asas yang kukuh untuk mereka bersedia menggalas tanggungjawab tersebut

“ Sebagai pemimpin belia kita menyembut baik keprihatinan kerajaan dalam Bajet 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd.Najib Tun Abdul Razak yang disifatkan sebagai bajet menyeluruh tanpa meminggirkan mana-mana pihak termasuk golongan belia di Negara ini” katanya ketika ditemui dan diminta mengulas Bajet 2012 yang telahpun dibentangkan di Parlimen minggu lepas

Menurut Mohd.Said yang juga Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) pelbagai aspek penekanan dalam bajet itu jelas menunjukkan kerajaan Barisan Nasional (BN) mendengar denyut nadi dan memahami kesusahan rakyat termasuk keperluan golongan belia.
Dalam perkembangan berkaitan Mohd.Said juga berkata, Peranan pertubuhan belia dan NGO dalam pembangunan negara perlu dipandang serius oleh pihak kerajaan. Mengambil contoh Majlis Belia Malaysia atau Majlis Belia Sabah sebagai badan induk pertubuhan belia termasuk persatuan persatuan belia yang berdaftar ,perlu diberi suntikan semangat supaya ianya terus mekar dan relevan dalam negara.
Katanya, relevannya pertubuhan ini bukan hanya diukur semata-mata kepada aktiviti, sumbangan dan keberkesanannya tetapi keutuhan pentadbiran termasuk perlaksanaan aktiviti aktiviti belia yang memberikan kesan dan manafaat kepada golongan ini termasuklah penggunaan kecanggihan teknologi yang digunakan pakai perlulah signifikan dengan keadaan semasa

Justeru, adalah menjadi harapan besar pertubuhan-pertubuhan belia di Negara ini agar Kerajaan menyediakan insentif yang berterusan kepada pertubuhan belia dan NGO dengan meningkatkan peruntukan kepada bantuan pentadbiran tahunan dan bantuan aktiviti sejajar dengan peningkatan kos masa kini.

“ Ini termasuklah mengkaji jumlah peruntukan atau geran tahunan yang diberikan kepada persatuan belia yang berdaftar serta aktif agar dapat dipertingkatkan jumlah bantuan bagi membolehkan lebih banyak program belia dapat dilaksanakan oleh persatuan belia yang berdaftar dan aktif” jelas Mohd.Said....