Tuesday, August 10, 2010

Salam Ramadhan al-Mubarak


PERBEKK mengucapkan
Selamat Menyambut Bulan Ramadhan 1431H
kepada semua ahli dan penduduk Kg Kuridak dan sekitarnya.

Semoga Ramadhan kali ini
akan mengeratkan silaturrahim di kalangan kita semua.
Semoga kita akan terus diberkati dan dirahmati Allah sepanjang masa.

Sunday, August 8, 2010

TAHNIAH...PENGERUSI PERBEKK!


Setinggi tahniah diucapkan kepada Pengerusi PERBEKK, Md Said Ag Damit
( ustazSAID ) yang telah dipilih pemenang Anugerah Belia Negara 2010, peringkat Negeri Sabah tahun ini bagi kategori Kepimpinan.


Menewaskan beberapa calon, Pengerusi PERBEKK yang mewakili daerah Beaufort telah menerima anugerah tersebut pada 7hb Ogos 2010. Anugerah telah disampaikan oleh Datuk Peter Pang En Yin, Menteri Belia dan Sukan Sabah, yang mewakili Datuk Seri Panglima Musa Aman, Ketua Menteri Sabah.


Anugerah ini diadakan sempena sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sabah yang telah diadakan di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu. Pengerusi PERBEKK dengan kemenangan ini telah menerima sijil penghargaan, cenderamata dan wang tunai.



Sesungguhnya anugerah ini sangat bererti bukan sahaja kepada Pengerusi PERBEKK, malahan kepada persatuan secara keseluruhannya. PERBEKK sebagai persatuan yang ditubuhkan tiga tahun lalu dan merupakan wadah perkumpulan belia di sebuah kampung pedalaman, dengan penganugerahan ini merupakan satu pengiktirafan kepada PERBEKK.



Seperti kata Pengerusi PERBEKK selepas menerima anugerah siang tadi,
" anugerah ini tidak akan berhasil tanpa adanya PERBEKK. Saya menerima anugerah ini kerana wujudnya PERBEKK sebagai satu pertubuhan. Kerana itu, saya dedikasikan anugerah ini kepada semua ahli PERBEKK serta penasihat dan penduduk Kg Kuridak yang sentiasa menyokong usaha kecil kami".

" Saya juga berterima kasih kepada Jabatan Belia dan Sukan, Persekutuan dan Negeri yang banyak membantu PERBEKK menjalankan aktiviti. Terima kasih juga kepada YB Datuk Sapawi Ahmad, YB Kamarlin Ombi serta YB JG DSP Lajim Hj Ukin yang banyak memberikan sumbangan kepada PERBEKK. Tidak lupa kepada para sahabat yang banyak membantu kami. Semoga anugerah ini akan menjadi pendorong kepada kami untuk bergerak, khususnya demi kebaikan belia di Kg Kuridak, Beaufort, negeri dan negara amnya", kata Pengerusi PERBEKK.



Sekali lagi tahniah diucapkan kepada Pengerusi PERBEKK di atas pengiktirafan ini. Belia Berjasa Negara Berjaya!

Lawatan Sambil Belajar PERBEKK


Sempena sambutan Hari Belia peringkat Negeri Sabah tahun ini, PERBEKK telah menganjurkan satu lawatan sambil belajar ke Kota Kinabalu. Selain menyertai sambutan tersebut di Kompleks Sukan Likas, seramai 21 orang AJK dan ahli serta dua orang penasihat PERBEKK, pelbagai acara telah diatur.

Satu lawatan ke ladang fertigasi PC Farm di Kg Bantayan, Tamparuli. Di ladang ini, ahli PERBEKK telah diberi taklimat berkaitan pertanian moden berteknologi tinggi oleh En. Peter Lintar dan Puan Nina, selaku pengurus dan pengarah urusan syarikat tersebut. Banyak ilmu berkaitan pertanian telah ditimba dalam lawatan singkat tetapi amat bermakna ini.

Pada malam sebelumnya, satu perlawanan persahabatan Futsal di antara ahli dan AJK PERBEKK telah berlangsung di BSA Futsal, Kolombong. Perlawanan ini diadakan sebagai satu latihan kepada pasukan Futsal PERBEKK, selain untuk mengeratkan ikatan silaturrahim di kalangan ahli PERBEKK.


Satu jamuan juga diatur untuk meraikan lawatan ini diadakan di sebuah gerai makan di Tg Lipat Likas. Ahli PERBEKK dijamu dengan durian oleh Pengerusi PERBEKK.

Diharapkan lawatan sambil belajar ini memberikan banyak menfaat kepada ahli PERBEKK untuk terus maju, demi memastikan kesinambungan PERBEKK sebagai wadah perkumpulan belia di Kg Kuridak, Beaufort.