Friday, March 4, 2011

PERBEKK @ MAULIDURRASUL 1432H...


PERBEKK telah menyertai Sambutan Maulidurrasul anjuran SK Garama pada 4hb Mac 2011 buat kali kedua. Sambutan dimulakan dengan perarakan dari masjid Kg Kuridak menuju ke perkarangan SK Garama.

Tahniah kepada belia PERBEKK yang berjaya meraih tempat kedua dalam pertandingan sepanduk. Sementara, sepanduk Kg Kuridak - yang juga dicipta oleh ahli PERBEKK - meraih tempat ketiga.

Semoga penyertaan dalam sambutan Maulidurrasul ini akan menyemarakkan kecintaan kepada Junjungan Besar Nabi Muhamad S.A.W.

*************************************

PERBEKK juga akan menganjurkan gotong-royong bersama penduduk Kg Kuridak di perkarangan Masjid Kg Kuridak pada 6hb Mac ini. Acara akan bermula pada jam 2.30 petang. Diharapkan semua belia dapat hadir bersama.

Tuesday, February 22, 2011

Mesyuarat Agung Tahunan PERBEKK

Pada 20hb Februari yang lalu, PERBEKK telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan ( MAT ) buat kali yang ketiga di Balairaya Kg Kuridak, Beaufort.

Dalam MAT kali ini, pemilihan untuk Ahli Jawatankuasa yang baru telah diadakan. Beberapa muka baru telah dibawa masuk untuk menduduki kerusi AJK, bagi mengganti beberapa orang AJK yang lama. Hanya penyandang 4 jawatan utama telah dikekalkan.

Pada MAT ini juga, beberapa cadangan untuk penambahbaikan persatuan telah dibincang dan diterima. Antara lain diputuskan ialah cadangan mencipta logo persatuan, membuka keahlian persatuan kepada belia yang berminat dari kampung sekitar dan mempelbagaikan aktiviti persatuan.

Pengerusi PERBEKK Saudara Md Said Ag Damit dalam ucapannya selepas dipilih semula menyeru semua belia supaya berganding bahu dan bekerjasama rapat dalam menjayakan sebarang aktiviti persatuan mahupun aktiviti anjuran Badan Masjid dan JKKK.

Beberapa perubahan akan dilaksanakan dalam usaha mentranformasi persatuan agar lebih aktif dan dinamik pada penggal 2011-2012. Beliau berharap kemasukan AJK yang lebih muda akan dapat membantu merealisasikan hasrat ini.

Untuk itu, beberapa aktiviti akan dirancang dan dilaksanakan melalui biro yang ditubuhkan. Beliau juga mengumumkan bahawa latihan kepada pemimpin pelapis persatuan akan dimantapkan memandangkan penggal ini adalah penggal terakhir beliau menerajui persatuan.

Saudara Md Said juga tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada AJK, ahli dan penasihat persatuan yang telah bersama-sama memajukan persatuan sehingga beliau mendapat pengiktirafan Anugerah Belia Negara pada tahun 2010. Bagi beliau, anugerah yang diterima merupakan pengiktirafan kepada PERBEKK.

Monday, January 17, 2011

Menghadiri Mesyuarat Agung Gabungan Persatuan Belia


Pada 15hb Januari 2011 yang lalu, Pengerusi bersama Bendahari dan seorang AJK telah mewakili PERBEKK menghadiri Mesyuarat Agung Gabungan Persatuan Belia Pedalaman Bawah di Jasaria Hotel, Beaufort.

Dalam mesyuarat tersebut, Pengerusi persatuan telah dicalonkan untuk jawatan Pengerusi Tetap tetapi kecundang kepada 'orang lama' dalam aktivis belia.

Diharapkan dengan penubuhan Gabungan ini dapat membangkitkan belia di bahagian Pedalaman Bawah khususnya, untuk lebih peka dan menyertai persatuan.