Monday, January 17, 2011

Menghadiri Mesyuarat Agung Gabungan Persatuan Belia


Pada 15hb Januari 2011 yang lalu, Pengerusi bersama Bendahari dan seorang AJK telah mewakili PERBEKK menghadiri Mesyuarat Agung Gabungan Persatuan Belia Pedalaman Bawah di Jasaria Hotel, Beaufort.

Dalam mesyuarat tersebut, Pengerusi persatuan telah dicalonkan untuk jawatan Pengerusi Tetap tetapi kecundang kepada 'orang lama' dalam aktivis belia.

Diharapkan dengan penubuhan Gabungan ini dapat membangkitkan belia di bahagian Pedalaman Bawah khususnya, untuk lebih peka dan menyertai persatuan.

Tuesday, January 4, 2011

KBS sasar sejuta belia pada Perhimpunan Hari Belia 15 Mei


KUALA LUMPUR 1 Jan. - Kementerian Belia dan Sukan menyasarkan untuk mengumpulkan sejuta belia dari seluruh negara sempena Perhimpunan Hari Belia peringkat kebangsaan yang dijadualkan pada 15 Mei di Putrajaya.

Timbalan menterinya, Datuk Razali Ibrahim berkata, pada tahun lepas, kira-kira 250,000 remaja dikumpulkan pada perhimpunan sama yang berlangsung selama tiga hari.

"Jadi kita optimis dan Jemaah Menteri minta KBS memberikan sasaran untuk dikumpulkan. Sudah tentu 88 program (belia) itu kita tambah lagi dengan ratusan program tahun ini. (Program) tahun lepas akan kita kembangkan lagi," katanya.

Terdahulu, Razali merasmikan Karnival Semarak 1Belia 1Malaysia di Kompleks Belia dan Sukan Kuala Lumpur di Kampung Pandan di sini hari ini.

Karnival sehari anjuran Majlis Belia Wilayah Persekutuan dengan kerjasama KBS itu diadakan bertujuan memupuk semangat cintakan sukan di kalangan belia selain menjadikan aktiviti bersukan sebagai riadah bermanfaat.

Sejumlah 45 acara sukan diadakan seperti cyber games, bola jaring 3 lawan 3 dan futsal selain pameran oleh beberapa jabatan kerajaan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dan Rakan Cop.

Razali berkata kerajaan akan meneruskan pemberian geran untuk menjalankan aktiviti belia dan sukan kepada jabatan sukan di peringkat daerah dan negeri.

"Biasanya geran ini tidak mencukupi untuk mereka melaksanakan program, memadai untuk pentadbiran sahaja," katanya, sambil menambah kata geran itu diberikan berdasarkan keaktifan persatuan mengadakan program yang melibatkan belia di kawasan masing-masing. - BERNAMA