Wednesday, November 9, 2011

Kerjasama Dengan Takaful Ikhlas.





Alhamdulilah Majlis Korban dan Sumbangan Zakat anjuran PERBEKK dengan kerjasama Takaful Ikhlas Negeri Sabah telah disempurnakan dengan jayanya di Perkarangan Masjid Kg. Kuridak, Beaufort pada 7hb November yang lalu. Perasmian majlis tersebut telah disempurnakan oleh YB Kamarlin Hj Ombi, ADUN Lumadan.


Di majlis tersebut, Ustaz Said Ag Damit selaku Pengerusi PERBEKK dalam ucapan alu-aluannya, mengucapkan terima kasih kepada YB Kamarlin Hj Ombi yang meluangkan masa menyokong acara yang dianjurkan PERBEKK. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Takaful Ikhlas kerana memilih Kg Kuridak, Beaufort sebagai lokasi melakukan tanggungjawab sosial dan memilih PERBEKK sebagai rakan kongsi dalam melaksanakan program yang dirancang. Ustaz Said berharap kerjasama ini akan diteruskan pada masa depan. Selain itu, Ustaz Said juga merakamkan ucapan terima kasih kepada penduduk kg. Kuridak, khususnya para belia di atas komitmen dan kerjasama dalam menjayakan majlis tersebut.

Pihak Takaful Ikhlas yang diwakili oleh saudara Zulfahmi Nadin selaku Pegawai Pemasaran Wilayah Sabah dalam ucapannya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada PERBEKK dan penduduk Kg Kuridak yang bekerjasama menjayakan program tahunan Takaful Ikhlas. Sumbangan seekor kerbau dan wang zakat untuk asnaf terpilih adalah bukti keprihatinan pihak Takaful Ikhlas untuk bersama dengan masyarakat khususnya masyarakat di luar bandar.

Sementara itu, dalam uacapan perasmiannya, YB Kamarlin Hj Ombi mengucapkan tahniah kepada PERBEKK dan Takaful Ikhlas atas kerjasama yang baik dalam acara yang baik. Beliau menyeru supaya rakyat terus menyokong kepimpinan Barisan Nasional dan menolak dakyah pembangkang, termasuk menolak program yang bertentangan dengan ajaran Islam dan budaya masyarakat Malaysia seperti Program Seksualiti Merdeka.

Terdahulu daripada itu, pada sebelah paginya, penyembelihan dua ekor kerbau telah dilaksanakan dengan dagingnya diagih-agihkan kepada penduduk Kg. Kuridak dan sekitarnya.

No comments: